Monday, March 29, 2010

Undang-undang Islam teras bentuk jati diri kebangsaan

UNDANG-UNDANG Islam di Malaysia agak unik. Ia mempunyai kedudukannya tersendiri namun sering disalah erti. Undang-undang Islam yang mengawal majoriti rakyat Malaysia adalah teras pembentukan jati diri kebangsaan sama ada di kalangan orang Islam ataupun bukan Islam.
Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah konsep yang berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan kerana Islam satu-satunya agama yang disebut dalam perlembagaan itu. Tiada agama lain yang disebut secara khusus melainkan ia boleh dianuti dan diamal dengan aman dan harmoni.
Gagasan 1Malaysia bukanlah ‘agama baru’ yang menyatukan agama (unity of religions) tetapi ia hendaklah diaplikasi dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan berdasarkan susur galur sejarah dan kesinambungan peradaban negara.

Pembentukan jati diri kebangsaan perlu mengambil kira nilai agama Islam, budaya dan sejarah di samping tidak meminggirkan keharmonian dan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem politik dan perundangan di Malaysia. Ia teras pembentukan jati diri kebangsaan berpaksikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Jati diri kebangsaan ini bukan muncul pada saat negara mencapai kemerdekaan malah sebelum kedatangan penjajah lagi jati diri ini menjadi lambang kebanggaan rakyat. Jati diri ini juga tidak diusik oleh penjajah secara langsung walaupun beratus tahun mereka mentadbir negara.

Ini disebabkan perjuangan mencapai kemerdekaan oleh anak watan juga sebenarnya bagi mempertahankan akidah umat Islam serta melindungi institusi beraja di Malaysia. Ia dapat dilihat daripada perlembagaan awal negeri yang menzahirkan tradisi beraja ini.
Perlembagaan negeri juga memperuntukkan Islam sebagai agama negeri kecuali Sarawak yang hanya memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua bagi Agama Islam dalam negeri dan Dewan Undangan Negeri boleh membuat undang-undang dan peraturan berkaitan hal ehwal Islam.

Institusi kesultanan Melayu adalah hasil proses asimilasi antara tradisi beragama berakar umbi dari khilafah Islamiah. Sultan sendiri tidak diberi pengecualian dari undang-undang Islam. Berbanding pada zaman pra-Islam, Raja Melayu digelar Dewa Raja yang dianggap sebagai jelmaan Tuhan. Bagaimanapun kemunculan Islam merubah konsep itu menjadi ‘payung dan tombak Allah’ di muka bumi iaitu suatu mandat penting sebagai pewaris khulafa’ Rasullulah.

Kewujudan sesebuah negara itu mesti didasari hakikat sejarah. Dalam konteks negara Malaysia, sejarah itu tidak bermakna sejarah yang bermula pada 1957 tatkala negara mencapai kemerdekaan, tetapi ia bermula sebelum zaman penjajahan Portugis lagi. Ramai yang tersilap kerana hanya merujuk kepada sejarah berdasarkan tarikh kemerdekaan negara dan sudah tentu jawapan yang tepat berkaitan dengan jati diri kebangsaan tidak dapat dicari sekiranya pencarian itu terhenti setakat 31 Ogos 1957. Susur galur sejarah seharusnya menjadi panduan kepada semua warga negara dan disemat dalam diri masing-masing. Proses memperkasa negara hanya dapat dijalankan jika kita memperkasa sejarah. Justeru, melupai sejarah hanya akan meruntuhkan jati diri dan perpaduan negara.
Shad Saleem Faruqi dalam bukunya Document of Destiny memperincikan ciri-ciri Islam dalam Perlembagaan secara ringkasnya iaitu:

  • Konsep sekular ditolak - Implikasi mengambil Islam sebagai agama Persekutuan ialah Malaysia bukanlah sebuah negara sekular. Sokongan kerajaan kepada agama Islam adalah dibenarkan dan kerajaan tidak diperlukan untuk berlaku sama rata dengan agama lain.

  • Pendidikan - Pendidikan Islam dan cara hidupnya boleh dipromosikan kerajaan. Perkara 12(2) memberi keabsahan kepada Persekutuan dan Negeri untuk membangunkan institusi Islam, menyediakan prasarana untuk pembangunan dan kemajuan agama Islam dan membiayai tujuan itu.

  • Institusi Islam - Dana awam boleh digunakan bagi membangunkan institusi Islam , membina masjid dan surau serta penyelenggaraannya.

  • Mahkamah Syariah - LPerlembagaan membenarkan Mahkamah Syariah diwujudkan dan pegawainya dilantik. Bidang kuasa Mahkamah Syariah dilindungi oleh Perkara 121(1A) daripada diganggu gugat oleh Mahkamah Sivil.

  • Orang Islam tertakluk kepada undang-undang syariah - Semua orang Islam adalah tertakluk kepada perkara yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

  • Menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam dikawal - Menyebar ajaran agama adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan namun Perlembagaan mengehadkan penyebaran agama bukan Islam tidak boleh dilakukan kepada orang Islam.

  • Akhlak Islam - Enakmen negeri boleh digubal bagi mengawal perlakuan melanggar akhlak Islam.

  • Kesalahan Jenayah Syariah - Kesalahan melanggar perintah agama Islam boleh diwujudkan walaupun hukumannya dikawal oleh Akta Bidang kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965.

  • Perlembagaan Negeri - Perlembagaan-Perlembagaan Negeri memperuntukkan Raja hendaklah beragama Islam.

  • Konsep Melayu - Orang Melayu hendaklah beragama Islam.

  • Institusi Islam - Banyak institusi Islam ditubuhkan bagi memajukan agama Islam.

  • Amalan agama - Amalan agama Islam dilakukan di jabatan kerajaan dan majlis rasmi.

  • Perbankan Islam - Sistem perbankan Islam dianjurkan dan diberi banyak keistimewaan.

  • Polisi Islam - Banyak polisi berasaskan Islam dilakukan seperti Islam Hadhari dan sebagainya.

    Dalam hal disebutkan tadi, ciri Islam dalam Perlembagaan Persekutuan inilah yang membezakan undang-undang Islam dengan undang-undang lain. Ia tidak hanya mencakupi bidang undang-undang tetapi meliputi juga akhlak, sosial, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran. Teras ini tidak boleh dilupakan ataupun dihiraukan. Ia adalah manifestasi keluhuran undang-undang Islam di Malaysia.

    Mungkin ada golongan mengatakan ia retorik politik semata-mata tetapi sebenarnya kita yang patut mengisi lompang yang ada dengan undang-undang Islam. Prasarananya tersedia, kitalah yang patut menyempurnakan dengan pengisian agama sejajar dengan Islam sebagai sebuah kehidupan yang syumul.
  • No comments: